RANTAU PANJANG: ZON BEBAS CUKAI
RANTAU PANJANG: Rantau Panjang
yang terletak di Utara negeri Kelantan adalah sebuah bandar yang bersempadan
antara Malaysia dan Thailand. Ia
berada kira-kira 39 kilometer di barat daya bandar Kota Bharu dan terletak
berhampiran dengan Sungai Golok,
Thailand.
Bandar Rantau Panjang termasuk
dalam peta pelancongan negeri Kelantan malah lebih tepat lagi bandar ini
dikenali sebagai “Zon Bebas Cukai”. Pelbagai jenis barangan boleh didapati di
bandar ini bermula dari pakaian, makanan hinggalah barangan dapur yang agak bermutu yang boleh dibeli dengan harga yang agak berpatutan dan murah
jika dibandingkan dengan harga di kedai-kedai biasa.
Selain itu, beberapa unit
penguatkuasaan turut ditempatkan di kawasan zon bebas cukai ini seperti Unit
Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen
dan Polis Diraja Malaysia di pintu masuk zon ini bagi menguatkuasakan
undang-undang dan peraturan dalam usaha mencegah penyeludupan seperti dadah, beras, gula, manusia dan
sebagainya.
Lazimnya, Rantau Panjang menerima
tetamu yang agak luar biasa ketika musim-musim perayaan, cuti persekolahan,
cuti mingguan dan cuti umum. Ini kerana, kebanyakan yang datang ke sini bersama
keluarga adalah semata-mata untuk mendapatkan barangan yang dihajatkan seperti
pakaian umpamanya baju, kain cadar, kain selimut, cenderamata, barangan
keperluan dapur dan sebagainya yang harganya tidak diperolehi di tempat-tempat
yang lain.
Walaupun barangan seumpamanya
boleh dibeli di Pengkalan Kubor, Tumpat atau di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu,
namun pilihan terbaik hanya boleh didapati di Rantau Panjang. Bukan sahaja
harganya agak murah, namun kebanyakan pengunjung atau pembeli lebih
menitikberatkan pilihan yang sesuai dengan kehendak mereka.
Sesuatu yang amat menarik
khususnya bagi pengunjung-pengunjung dari Kelantan sendiri, kebanyakan peniaga
tidak lokek dengan harga. Ada
beberapa jenis pakaian yang dijual RM10 (4 helai) dan RM10 (3 helai) diberikan diskaun sendiri oleh peniaga. Sesuatu
yang paling menarik, walaupun harga untuk barangan berkenaan telah ditetapkan,
namun pembeli boleh cuba
membuat tawar-menawar jika barangan yang akan dibeli itu dirasakan masih tidak dipersetujui oleh mereka. Buktinya, Wartawan DESTINASI, Azmi Mohd. Salleh sendiri telah membeli seutas tali
pinggang dengan harga RM10 walaupun harga yang ditetapkannya ialah RM13, bahkan
harga tali pinggang berkenaan di gedung pakaian di Kota Bharu ditetapkan dengan
harga RM15-99 dan dua biji bantal ditawarkan dengan harga RM26, sedangkan di
Kota Bharu dijual dengan harga RM20 sebiji.
Justeru, bagi pengunjung yang
tidak pernah datang ke kawasan Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang, bolehlah
mengambil peluang di musim-musim cuti sambil merantau dan membeli-belah di sana.
Pintu masuk ke Zon Bebas Cukai.
Laluan ke Zon Bebas Cukai.
Rujukan: Wikipedia
Untuk Melihat Video Rantau Panjang ini, sila akses di You Tube:
www.youtube.com/azmi mohd salleh
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan