DESTINASI: Media Tentang Perjalanan . Pengalaman . Tempat Menarik dan Kawasan Tumpuan Umum . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Khamis, 20 Mac 2014

Pantai Sri Tujoh


PANTAI SRI TUJOH

TUMPAT, KELANTAN: PANTAI SRI TUJOH yang terletak di Kampung Tujoh, Tumpat, Kelantan asalnya dinamakan "Pantai Tujoh" tetapi satu istilah “Sri” telah ditambah di bahagian tengahnya supaya panggilannya lebih menarik, bersifat komersial dan indah pada pandangan umum.

Dalam konteks geografinya, Pantai Sri Tujoh menghadap ke arah Laut China Selatan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand. Terdapat beberapa teluk dan beting pasir boleh disaksikan di beberapa kawasan pantai berkenaan turut menambahkan lagi keindahan landskap Pantai Sri Tujoh.

Sebenarnya, Pantai Sri Tujoh ditadbir Majlis Daerah Tumpat (MDT) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di antara kemudahan yang disediakan pihak PBT berkenaan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti rumah tumpangan, tandas awam, musalla, dewan orang ramai, restoran dan gerai makanan serta taman kanak-kanak.

Pantai Sri Tujoh menurut catatan pada batu asasnya memang terkenal sebagai tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan sejak tahun 1983. Pantai ini juga turut dijadikan Tapak Pesta Air Kelantan 2005. Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, pantai ini dijadikan Tapak Pesta dan Ekspo Perdagangan.

Malah lazimnya, Pantai Sri Tujoh menerima pengunjung paling ramai terutamanya pada cuti hujung minggu seperti hari Jumaat (paling ramai), Sabtu dan musim cuti sekolah. Lazimnya juga, kebanyakan pengunjung yang datang ke pantai ini bersama keluarga untuk tujuan menikmati panorama pantainya yang menarik, permai dan mendamaikan.

Sesuatu yang menarik tentang Pantai Sri Tujoh ialah pantai ini kaya dengan landskapnya yang tersusun, selain pohon rhu yang hidup subur seolah-olah sebagai teman menghiburkan pengunjung dengan lambaian bayu berpuput lembut menambahkan lagi kenyamanan dan ketenangan apabila berada di pantai ini, selain terdapat beberapa spesis seperti anak ikan belacak dan ikan jejuluk sebagai penghias di beberapa tasik di pantai ini.

Melihatkan keadaan seni pantainya itu menunjukkan Pantai Sri Tujoh (Tumpat) telah mengalahkan pantai-pantai lain yang ada di Kelantan seperti Pantai Irama (Bachok), Pantai Melawi (Bachok), Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu) dan Pantai Sabak (Kota Bharu). Ini menunjukkan, komitmen yang ditunjukkan dan diambil perhatian oleh Majlis Daerah Tumpat ini yang dapat meningkatkan seni landskap pantainya sehingga menjadi kenangan dan menggamit pengunjung adalah sesuatu yang boleh dipuji dan usaha berkenaan perlu diteruskan dalam usaha untuk melihat pantai-pantai di negara dan di negeri kita dalam keadaan sempurna dan tidak terbiar.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Sri Tujoh bersama keluarga kerana pengunjung tidak akan rugi malah dapat menghilangkan rasa resah apabila berada di pantai ini.

Papan tanda arah masuk ke Pantai Sri Tujoh.

Batu asas Pantai Sri Tujoh.

Masjid yang cukup cantik dan selesa disediakan kepada pengunjung beragama Islam untuk solat.


Chalet yang cukup selesa dan menarik.


Restoran dan gerai makanan.

Tandas awam.


Sukan air juga mendapat perhatian pengunjung.


Papan tanda amaran sebagai langkah berjaga-jaga.



Pemandangan menarik di Pantai Sri Tujoh.



Pokok rhu turut menghiasi Pantai Sri Tujoh.


Pelbagai jenis ikan yang gemar dengan kehadiran manusia.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan