PUSAT REKREASI GUNUNG RENG
JELI, KELANTAN: GUNUNG RENG
yang terletak di tepi Lebuh raya Timur-Barat antara Jeli (Kelantan) dan Gerik
(Perak) adalah sebuah gunung yang hanya gah di tempatnya. Gunung ini yang
kadangkala digelarkan oleh segelintir masyarakat sebagai sebuah mitos, malah
ada yang mendakwa sebagai lagenda dan sejarah. Usianya melebihi 1,400 tahun,
Gunung Reng tetap berdiri di tempatnya, di bawahnya adalah sebuah gua dikenali
Gua Payong.
Gunung Reng juga kaya dengan
pelbagai cerita misteri sama ada tentang guanya, kisah Puteri Maryam binti Raja
Loyor (Puteri Sa’adong) yang menjadikan sebuah bilik dalam gua berkenaan
sebagai tempatnya bersemayam dan juga hulubalangnya menjadikan Gunung Reng
menjadi tarikan pelancong sama ada dari dalam dan luar Kelantan. Disebabkan
itulah, maka Gunung Reng turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai
salah satu destinasi terbaik untuk dikunjungi.
Selepas itu Gunung Reng
terus terbiar, kawasan persekitarannya tidak diberikan perhatian bukan sahaja
dari pihak Majlis Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan), sudahnya Gunung Reng
tidak lagi dikenali. Ketika kunjungan Penulis ke Gunung Reng buat kali pertama
pada 28 Julai, 2007, persekitarannya dipenuhi najis lembu. Gunung Reng terus
terbiar, bahkan papan tandanya agak lusuh seperti tidak diberikan perhatian.
Penulis juga melihat beberapa kumpulan makhluk halus dalam Gua Payong, lantas
hal berkenaan dipaparkan di dalam blog/majalah RELATIF (http://azmipasak.blogspot.com)
dengan jodol “Gunung Reng” dan foto makhluk halus terbabit dipaparkan dalam majalah JEJAK SILUMAN (http://azmijejak.blogspot.com).
Kisah berkenaan Penulis turut paparkan
dalam sebuah akhbar dan blog pada tahun berkenaan. Pada tahun 2012, dua kali
Penulis bersama kumpulan mendaki telah melakukan “Ekspedisi Gunung Reng” iaitu
pada 8.9.2012 dan 15.9.2012 semata-mata untuk melakukan pendakian ke puncak
gunung berkenaan, tetapi arah ke puncak gunung berkenaan didapati telah runtuh
menyebabkan pendakian kami terhalang.
Ketika kehadiran Penulis buat
kali kedua dan ketiga ke kaki gunung berkenaan pada tahun 2012 itu, telah
berlaku suatu perubahan yang boleh dipuji apabila telah diwujudkan “Pusat Rekreasi Gunung Reng”. Beberapa kemudahan telah diwujudkan seperti gerai
makanan, rumah tumpangan dan wakaf rehat. Namun, keadaannya agak melemaskan
apabila rumah tumpangan ini juga sentiasa bertutup (mungkin tiada pengunjung
yang menyewa) dan wakaf rehatnya juga agak lebar namun didapati keadaan
lampunya juga cacat dan rosak, wayar elektriknya juga terputus atau seperti
diputuskan.
Pada tarikh berkenaan juga sepasang pengantin telah mengabadikan latar belakang Gua
Payong dan Gunung Reng sebagai destinasi bulan madu mereka. Dalam konteks ini
menunjukkan, Gunung Reng sentiasa di hati masyarakat dan pengunjung di negeri
dan di negara kita. Mereka datang ke sini kerana kawasan berkenaan tersohor
bukan sahaja telah dipaparkan dalam akhbar tetapi juga telah disebarkan dalam
media elektronik dan blog. Apatah lagi, kawasan persekitaran Gunung Reng juga
menjanjikan suatu ketenangan, sambil dapat menikmati hembusan bayunya yang
lembut yang bertiup dari arah Sungai Reng dan juga dari puncak gunung dan Gua
Payong itu sendiri.
Adalah amat malang apabila tempat tercantik dan tersohor
di Negeri Kelantan ini terbiar begitu sahaja tanpa ada usaha untuk
menjadikannya sebagai sebuah kawasan yang dikenali. Bukan itu sahaja, jika tempat
ini diangkat dan menjadi tersohor, sudah tentu penduduk di kawasan Gunung Reng
khasnya dan kawasan Batu Melintang amnya dapat mencari rezeki dari hasil
menjaja makanan dan runcit.
Sememangnya, masyarakat di Batu
Melintang terutamanya penduduk di kawasan Gunung Reng adalah pakar dalam masakan.
Pengalaman Penulis ketika berkunjung ke Gunung Reng pada tahun 28 Julai, 2007 dulu,
Penulis bersama rakan-rakan telah menjejaki kawasan sejarah seperti Sungai Tok
Tadoh dan sekitarnya. Tiba di suatu kawasan, Penulis terhidu bau sejenis pokok
ulam dikenali “Pokok Sawi”. Hal berkenaan, Penulis maklumkan kepada seorang
peneroka asal Kampung Batu Melintang, Husin Ismail atau Pak Teh Husin tentang
pokok ulam berkenaan kerana Penulis pernah menikmati dan amat gemar ulam sawi
tersebut. Lalu Pak Teh Husin menunjukkan pokok ulam terbabit yang berketinggian
lebih 5 kaki, manakala lebar batangnya pula kira-kira dua batang jari. Pokok
Sawi itu Penulis cabut untuk dibawa pulang.
Apabila aktiviti menjejak sejarah
selesai apatah lagi perut sudah mula terasa lapar, Pak Teh Husin mengajak kami
menikmati makanan di sebuah gerai makanan yang betul-betul dibina di hadapan Gunung Reng tersebut
lalu Pokok Sawi itu direbus untuk dicicah bersama “budu”. Kenyangnya menikmati
nasi dengan “gulai darat” sambil cecah ulam pokok sawi bersama budu, tidak
sedar kami “makan tambah” sehingga dua pinggan. Bukan kerana ulam sawi itu
sahaja yang menyebabkan kami berselera makan tetapi kerana masakan gulai darat
itu yang agak enak dan lazat. Ini menandakan, penjaja di Batu Melintang pandai
memasak.
Dalam hubungan ini, adalah
munasabah jika kawasan Pusat Rekreasi Gunung Reng terus dimajukan yang boleh memberikan keuntungan dan kemudahan mencari rezeki kepada penduduk-penduduknya juga.
Gunung Reng dirakam dari arah lebuh raya Timur-Barat (Jeli - Gerik).
Gunung Reng dirakam dari arah hadapan Masjid Batu Melintang.
Kawasan persekitaran, Gua Payong dan kaki Gunung Reng.
Papan tanda lama (foto dirakam pada 28.7.2007).
Papan tanda baru (foto dirakam pada 8.9.2012).
Pusat Rekreasi Gunung Reng.
Gerai makanan dalam kawasan Pusat Rekreasi Gunung Reng.
Wakaf Rehat.
Hulu Sungai Tok Tadoh (foto dirakam pada 28.7.2007).
Sungai Tok Tadoh (foto dirakam pada 28.7.2007).
Sungai Reng.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan