DESTINASI: Media Tentang Perjalanan . Pengalaman . Tempat Menarik dan Kawasan Tumpuan Umum . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Jumaat, 10 Januari 2014

Pusat Rekreasi Gunung Reng


PUSAT REKREASI GUNUNG RENG


JELI, KELANTAN:  GUNUNG RENG yang terletak di tepi Lebuh raya Timur-Barat antara Jeli (Kelantan) dan Gerik (Perak) adalah sebuah gunung yang hanya gah di tempatnya. Gunung ini yang kadangkala digelarkan oleh segelintir masyarakat sebagai sebuah mitos, malah ada yang mendakwa sebagai lagenda dan sejarah. Usianya melebihi 1,400 tahun, Gunung Reng tetap berdiri di tempatnya, di bawahnya adalah sebuah gua dikenali Gua Payong.

Gunung Reng juga kaya dengan pelbagai cerita misteri sama ada tentang guanya, kisah Puteri Maryam binti Raja Loyor (Puteri Sa’adong) yang menjadikan sebuah bilik dalam gua berkenaan sebagai tempatnya bersemayam dan juga hulubalangnya menjadikan Gunung Reng menjadi tarikan pelancong sama ada dari dalam dan luar Kelantan. Disebabkan itulah, maka Gunung Reng turut dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai salah satu destinasi terbaik untuk dikunjungi.

Selepas itu Gunung Reng terus terbiar, kawasan persekitarannya tidak diberikan perhatian bukan sahaja dari pihak Majlis Tempatan (Pihak Berkuasa Tempatan), sudahnya Gunung Reng tidak lagi dikenali. Ketika kunjungan Penulis ke Gunung Reng buat kali pertama pada 28 Julai, 2007, persekitarannya dipenuhi najis lembu. Gunung Reng terus terbiar, bahkan papan tandanya agak lusuh seperti tidak diberikan perhatian. Penulis juga melihat beberapa kumpulan makhluk halus dalam Gua Payong, lantas hal berkenaan dipaparkan di dalam blog/majalah RELATIF (http://azmipasak.blogspot.com) dengan jodol Gunung Reng dan foto makhluk halus terbabit dipaparkan dalam majalah JEJAK SILUMAN (http://azmijejak.blogspot.com).

Kisah berkenaan Penulis turut paparkan dalam sebuah akhbar dan blog pada tahun berkenaan. Pada tahun 2012, dua kali Penulis bersama kumpulan mendaki telah melakukan Ekspedisi Gunung Reng iaitu pada 8.9.2012 dan 15.9.2012 semata-mata untuk melakukan pendakian ke puncak gunung berkenaan, tetapi arah ke puncak gunung berkenaan didapati telah runtuh menyebabkan pendakian kami terhalang.

Ketika kehadiran Penulis buat kali kedua dan ketiga ke kaki gunung berkenaan pada tahun 2012 itu, telah berlaku suatu perubahan yang boleh dipuji apabila telah diwujudkan “Pusat Rekreasi Gunung Reng”. Beberapa kemudahan telah diwujudkan seperti gerai makanan, rumah tumpangan dan wakaf rehat. Namun, keadaannya agak melemaskan apabila rumah tumpangan ini juga sentiasa bertutup (mungkin tiada pengunjung yang menyewa) dan wakaf rehatnya juga agak lebar namun didapati keadaan lampunya juga cacat dan rosak, wayar elektriknya juga terputus atau seperti diputuskan.

Pada tarikh berkenaan juga sepasang pengantin telah mengabadikan latar belakang Gua Payong dan Gunung Reng sebagai destinasi bulan madu mereka. Dalam konteks ini menunjukkan, Gunung Reng sentiasa di hati masyarakat dan pengunjung di negeri dan di negara kita. Mereka datang ke sini kerana kawasan berkenaan tersohor bukan sahaja telah dipaparkan dalam akhbar tetapi juga telah disebarkan dalam media elektronik dan blog. Apatah lagi, kawasan persekitaran Gunung Reng juga menjanjikan suatu ketenangan, sambil dapat menikmati hembusan bayunya yang lembut yang bertiup dari arah Sungai Reng dan juga dari puncak gunung dan Gua Payong itu sendiri.

Adalah amat malang apabila tempat tercantik dan tersohor di Negeri Kelantan ini terbiar begitu sahaja tanpa ada usaha untuk menjadikannya sebagai sebuah kawasan yang dikenali. Bukan itu sahaja, jika tempat ini diangkat dan menjadi tersohor, sudah tentu penduduk di kawasan Gunung Reng khasnya dan kawasan Batu Melintang amnya dapat mencari rezeki dari hasil menjaja makanan dan runcit.

Sememangnya, masyarakat di Batu Melintang terutamanya penduduk di kawasan Gunung Reng adalah pakar dalam masakan. Pengalaman Penulis ketika berkunjung ke Gunung Reng pada tahun 28 Julai, 2007 dulu, Penulis bersama rakan-rakan telah menjejaki kawasan sejarah seperti Sungai Tok Tadoh dan sekitarnya. Tiba di suatu kawasan, Penulis terhidu bau sejenis pokok ulam dikenali “Pokok Sawi”. Hal berkenaan, Penulis maklumkan kepada seorang peneroka asal Kampung Batu Melintang, Husin Ismail atau Pak Teh Husin tentang pokok ulam berkenaan kerana Penulis pernah menikmati dan amat gemar ulam sawi tersebut. Lalu Pak Teh Husin menunjukkan pokok ulam terbabit yang berketinggian lebih 5 kaki, manakala lebar batangnya pula kira-kira dua batang jari. Pokok Sawi itu Penulis cabut untuk dibawa pulang.

Apabila aktiviti menjejak sejarah selesai apatah lagi perut sudah mula terasa lapar, Pak Teh Husin mengajak kami menikmati makanan di sebuah gerai makanan yang betul-betul dibina di hadapan Gunung Reng tersebut lalu Pokok Sawi itu direbus untuk dicicah bersama “budu”. Kenyangnya menikmati nasi dengan “gulai darat” sambil cecah ulam pokok sawi bersama budu, tidak sedar kami “makan tambah” sehingga dua pinggan. Bukan kerana ulam sawi itu sahaja yang menyebabkan kami berselera makan tetapi kerana masakan gulai darat itu yang agak enak dan lazat. Ini menandakan, penjaja di Batu Melintang pandai memasak.

Dalam hubungan ini, adalah munasabah jika kawasan Pusat Rekreasi Gunung Reng terus dimajukan  yang boleh memberikan keuntungan dan kemudahan mencari rezeki kepada penduduk-penduduknya juga.

 Gunung Reng dirakam dari arah lebuh raya Timur-Barat (Jeli - Gerik).

Gunung Reng dirakam dari arah hadapan Masjid Batu Melintang.

 

 

  Kawasan persekitaran, Gua Payong dan kaki Gunung Reng.

Papan tanda lama (foto dirakam pada 28.7.2007).

 
  Papan tanda baru (foto dirakam pada 8.9.2012).

 
 

Pusat Rekreasi Gunung Reng.

Gerai makanan dalam kawasan Pusat Rekreasi Gunung Reng. 

 Wakaf Rehat.

Hulu Sungai Tok Tadoh (foto dirakam pada 28.7.2007).

Sungai Tok Tadoh (foto dirakam pada 28.7.2007).
 

 Sungai Reng.

Teks dan Foto:
 AZMI MOHD. SALLEH