PASAR BESAR SITI KHADIJAH
KOTA BHARU, KELANTAN: PASAR BESAR SITI KHADIJAH
dulunya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu yang terletak di Jalan
Buluh Kubu, kira-kira 800 meter dari pusat bandar Kota Bharu, Kelantan.
Nama Pasar Besar Buluh Kubu kemudiannya ditukar oleh Menteri Besar
Kelantan, Y.A.B Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga
sekarang selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya merampas Kelantan
ketika Pilihanraya Umum 1990 dari tangan Barisan Nasional (BN).
Tujuan
penukaran nama pasar tersebut adalah sebagai tanda penghormatan dan
untuk menghargai sumbangan kaum Hawa (wanita) dalam bidang perniagaan.
Ini kerana, kira-kira 80 peratus majoriti peniaga di pasar berkenaan
terdiri daripada golongan wanita.
Walau
bagaimanapun, disebabkan pertambahan bilangan peniaga yang agak luar
biasa, Pasar Besar Siti Khadijah mengalami perubahan apabila terdapat
beberapa blok bangunan dibina baru bagi kemudahan wanita untuk berniaga
terutamanya di bahagian kuih-muih tradisional seperti akok, pulut bakar,
jala mas, apam dan sebagainya.
Pasar
Besar Siti Khadijah ini mempunyai empat tingkat kesemuanya yang mana di
tingkat bawah telah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan,
daging, ayam, sayur-sayuran dan ulam. Selain itu, di bahagian pintu
masuk ke pasar ini dikhususkan gerai jualan santan kelapa dan kelapa
parut dengan harga yang amat berpatutan.
Manakala
di tingkat satu pula ditempatkan gerai untuk makanan kering seperti
serunding, keropok dan ikan kering. Selain itu, di tingkat ini juga
menempatkan beberapa buah kedai runcit bagi kemudahan pengunjung untuk
mendapatkan barangan keperluan harian seperti susu, gula, bawang dan
sebagainya. Sementara itu, di sebelah kiri tangga ke tingkat satu ini
ditempatkan beberapa gerai makanan dan minuman untuk kemudahan
pengunjung menjamu selera.
Nama
'Siti Khadijah' diambil bersempena nama isteri Baginda Nabi Muhammad
S.A.W yang merupakan seorang peniaga wanita Islam yang berjaya. Pasar
Besar Siti Khadijah ini mula beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00
malam setiap hari. Sementara untuk kemudahan peniaga menunaikan solat,
dalam kawasan pasar ini turut dibina sebuah surau dan kebanyakan
peniaga-peniaga berkenaan akan menghentikan segala urusan jual-beli
selama 15 minit bagi membolehkan pengunjung dan peniaga menunaikan rukun
Islam yang kelima itu setelah masuk waktunya.
Justeru,
bagi anda yang mempunyai kesempatan masa ke Kelantan khususnya di Kota
Bharu, silalah berkunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah yang mana anda
akan merasai sendiri pengalaman dilayani sebagai seorang pelanggan dan
anda tentunya akan berasa puas hati. Malahan anda juga akan merasai
kepuasannya kerana harga barangan yang ditawarkan di pasar ini amat
berpatutan.
Wajah Pasar Besar Siti Khadijah terletak di Jalan Buluh Kubu.
Suasana dan pemandangan bahagian tengah Pasar Besar Siti Khadijah.
Pemandangan dirakam di tingkat satu Pasar Besar Siti Khadijah.
Bahagian kuih-muih terletak di tingkat bawah pasar berkenaan.
Bahagian makanan basah (ikan dan daging) di tingkat bawah pasar.
Kedai makan terletak di tingkat satu pasar.
Cenderamata juga turut dijual di tingkat satu.
Keropok juga makanan kering yang tersohor di Kelantan.
Barangan runcit turut diwujudkan di tingkat satu pasar.
Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan