KOTA BHARU: KOTA BUDAYA
KOTA BHARU, KELANTAN: KOTA BHARU
merupakan ibu negeri Kelantan dan sebuah bandar yang unik di Pantai
Timur. Bandar ini dibuka dengan rasminya pada masa pemerintahan Sultan
Muhammad II pada tahun 1844. Dulu bandar ini dikenali sebagai Kota Saba'
dan kini Kota Bharu tersohor sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri
yang dinamakan Kota Darul Naim. Bahkan Kota Bharu juga dikenali sebagai
'Serambi Mekah' menjadi pusat perniagaan bagi kebanyakan kaum wanita.
Kelantan
banyak melahirkan tokoh-tokoh ulama dan wali tersohor seperti Muhammad
Yusof bin Ahmad atau Tok Kenali selain tokoh politik, sasterawan dan
kebudayaan. Kerana itulah banyak masjid dan surau didirikan bagi
menampung jemaah dan masyarakat setempat seperti Masjid Muhammadi yang
merupakan masjid tertua di Kelantan yang terletak di Jalan Padang Bank
serta Masjid Sultan Ismail Petra yang dikenali juga sebagai Masjid Kubah
Biru iaitu masjid yang tercantik di sini terletak di Kubang Kerian.
Selain
itu, Kompleks Balai Islam yang terletak di Lundang, Jalan Sultan Yahya
Petra menjadi pilihan individu dan pertubuhan Islam untuk mengadakan
ceramah keagamaan selain pelbagai pameran untuk orang ramai mendapat
maklumat sewajarnya.
Hari
ini, Kota Bharu diberikan jolokan 'Kota Bharu Kota Budaya', sinonim
dengan peranannya menjadi pusat kegiatan seni dan warisan budaya rakyat
seluruh negeri Kelantan. Peranannya turut diperkuatkan dengan pembinaan
Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Mahmood sebagai wadah golongan
seni, budaya dan sastera menketengahkan bakat dengan mempersembahkan
pelbagai acara dikir barat, rebana ubi, permainan gasing dan sebagainya.
Tidak
lengkap rasanya bagi pelancong jika tidak mengunjungi beberapa pasar
utama seperti Pasar Besar Siti Khadijah (dulu dikenali Pasar Besar Buluh
Kubu) serta Bazar Buluh Kubu yang mana kedua-duanya terletak di Jalan
Buluh Kubu.
Pasar
ini berbentuk segi lapan dan mempunyai empat tingkat mengikut jenis
barangan yang dijual dari barangan basah sehinggalah barangan keperluan
harian seperti runcit dan pakaian. Disediakan juga tempat untuk menjamu
selera yang dikhaskan di tingkat satu serta kuih-muih tradisional di
tingkat bawah. Manakala Bazar itu pula ditempatkan pelbagai jenis
pakaian dari peringkat kanak-kanak sehingga orang-orang dewasa.
Selain
itu, di Kota Bharu juga terdapat Muzium Negeri Kelantan yang terletak
di Jalan Sultan Ibrahim selain Stadium Sultan Mohd. IV yang terletak di
Jalan Mahmood sebagai stadium perlawanan bolasepak yang utama di Kota
Bharu khususnya dan di Kelantan amnya.
Bagi
peminat kraftangan pula, bolehlah mengunjungi Kampung Kraftangan yang
terletak di Jalan Hilir Balai kerana pelbagai barangan kraf serta
makanan tradisional boleh didapati di sini, malah anda juga dapat
melihat sendiri cara pembuatannya.
Berkunjunglah
ke Kota Bharu, Kelantan kerana segalanya ada di sini. Anda boleh
menikmati pelbagai jenis makanan tradisional popular yang tidak mungkin
dapat anda temui di tempat lain. Rancanglah perjalanan anda sempena
Tahun Melawat Malaysia.
Istana Negeri terletak di Kubang Kerian.
Kota Darul Naim: Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.
Pihak Berkuasa Tempatan: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam.
Menara Jam dan Replika Al-Quran simbol Kerajaan Negeri Kelantan.
Bazar Tok Guru terletak di Jalan Sultan Ibrahim.
Kompleks Balai Islam: Sumber Rujukan Islam terletak di Jalan Sultan Yahya Petra.
Masjid Muhammadi: Masjid Utama dan Tertua di Kelantan.
Masjid Sultan Ismail Petra dikenali juga Masjid Kubah Biru.
Bazar Buluh Kubu: Aneka kain dan pakaian boleh dibeli di sini.
Pasar Besar Siti Khadijah.
Stadium Negeri: Stadium Sultan Mohd. IV
Gelanggang Seni: Pusat Perkembangan Kebudayaan dan Kesusasteraan Kelantan.
Bank Pitis terletak di Jalan Istana Jahar.
Pintu Kota Istana Jahar.
Kampung Kraftangan: Pusat barangan kraf terletak di Jalan Hilir Balai.
Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan.
Pemandangan di Jalan Sultan Ibrahim berhampiran Replika Al-Quran.
Pemandangan Pusat Bandar Kota Bharu di Jalan Doktor.
Pemandangan ke Pusat Bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan