DESTINASI: Media Tentang Perjalanan . Pengalaman . Tempat Menarik dan Kawasan Tumpuan Umum . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 26 Oktober 2013

Taman Indera Petra (Kota Bharu)


TAMAN INDERA PETRA

KOTA BHARU, KELANTAN: TAMAN Indera Petra terletak di atas tanah seluas 2 ekar 68 depa. Pada tahun 1960-an dulu, taman ini hanya merupakan Taman Permainan Kanak-kanak yang diwujudkan untuk kegunaan penduduk sekitarnya.

Pada tahun 1995, taman ini telah dibina dan dibaikpulih secara sempurna lagi oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu sesuai dengan "Taman Rekreasi Keluarga". Disebabkan prasarananya yang agak selesa dengan pemandangannya yang mempesonakan telah menarik ramai pengunjung untuk ke taman ini berikutan pembinaan "Taman Tema Air (Splash)" telah menyebabkan Taman Indera Petra semakin terserlah dan dikenali.

Berikutan sambutan pengunjung yang agak memberangsangkan, beberapa kemudahan untuk pengunjung telah disediakan di taman ini umpamanya Taman Tema Air, Taman Permainan Kanak-kanak, Medan Selera, Surau, Tandas Awam, Pusat Memanah, Pusat Aerobik, Pusat Internet, Dewan Terbuka, Pusat Taekwando dan Tempat Letak Kereta.

Lazimnya, Taman Indera Petra dan Taman Tema Air ini telah dikunjungi oleh kebanyakan pengunjung yang terdiri dari kanak-kanak dan orang dewasa adalah pada hari cuti umum, cuti mingguan seperti hari Jumaat dan Sabtu termasuk cuti persekolahan. Kanak-kanak adalah warga yang paling ceria apabila dibawa ke taman ini kerana mereka mengidam untuk bermain air di Taman Tema Air ini terutamanya di sebelah petang, manakala golongan dewasa akan menjadikan suasana malam bersama keluarga ke Taman Indera Petra ini untuk menjamu selera.

Pendek kata, setiap kali musim cuti taman ini akan sentiasa dipenuhi pengunjung yang menjadikan aktiviti beriadah, rekreasi dan santai bersama keluarga sambil menikmati keindahan dan hembusan bayu di tengah-tengah bandar Kota Bharu yang terletak berhampiran Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, Kelantan.

  

Taman Indera Petra terletak di bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai.



Taman Tema Air (Splash) terletak dalam Taman Indera Petra ini.


Taman Permainan Kanak-kanak.


Medan Selera.


Gerai Makanan.

Surau.

Tempat letak kenderaan.

Batu Asas.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Isnin, 14 Oktober 2013

Pasar Besar Siti Khadijah (Kota Bharu)


PASAR BESAR SITI KHADIJAH

KOTA BHARU, KELANTAN:  PASAR BESAR SITI KHADIJAH dulunya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu yang terletak di Jalan Buluh Kubu, kira-kira 800 meter dari pusat bandar Kota Bharu, Kelantan. Nama Pasar Besar Buluh Kubu kemudiannya ditukar oleh Menteri Besar Kelantan, Y.A.B Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga sekarang selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya merampas Kelantan ketika Pilihanraya Umum 1990 dari tangan Barisan Nasional (BN).

Tujuan penukaran nama pasar tersebut adalah sebagai tanda penghormatan dan untuk menghargai sumbangan kaum Hawa (wanita) dalam bidang perniagaan. Ini kerana, kira-kira 80 peratus majoriti peniaga di pasar berkenaan terdiri daripada golongan wanita.

Walau bagaimanapun, disebabkan pertambahan bilangan peniaga yang agak luar biasa, Pasar Besar Siti Khadijah mengalami perubahan apabila terdapat beberapa blok bangunan dibina baru bagi kemudahan wanita untuk berniaga terutamanya di bahagian kuih-muih tradisional seperti akok, pulut bakar, jala mas, apam dan sebagainya.

Pasar Besar Siti Khadijah ini mempunyai empat tingkat kesemuanya yang mana di tingkat bawah telah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan ulam. Selain itu, di bahagian pintu masuk ke pasar ini dikhususkan gerai jualan santan kelapa dan kelapa parut dengan harga yang amat berpatutan.

Manakala di tingkat satu pula ditempatkan gerai untuk makanan kering seperti serunding, keropok dan ikan kering. Selain itu, di tingkat ini juga menempatkan beberapa buah kedai runcit bagi kemudahan pengunjung untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti susu, gula, bawang dan sebagainya. Sementara itu, di sebelah kiri tangga ke tingkat satu ini ditempatkan beberapa gerai makanan dan minuman untuk kemudahan pengunjung menjamu selera.

Nama 'Siti Khadijah' diambil bersempena nama isteri Baginda Nabi Muhammad S.A.W  yang merupakan seorang peniaga wanita Islam yang berjaya. Pasar Besar Siti Khadijah ini mula beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari. Sementara untuk kemudahan peniaga menunaikan solat, dalam kawasan pasar ini turut dibina sebuah surau dan kebanyakan peniaga-peniaga berkenaan akan menghentikan segala urusan jual-beli selama 15 minit bagi membolehkan pengunjung dan peniaga menunaikan rukun Islam yang kelima itu setelah masuk waktunya.

Justeru, bagi anda yang mempunyai kesempatan masa ke Kelantan khususnya di Kota Bharu, silalah berkunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah yang mana anda akan merasai sendiri pengalaman dilayani sebagai seorang pelanggan dan anda tentunya akan berasa puas hati. Malahan anda juga akan merasai kepuasannya kerana harga barangan yang ditawarkan di pasar ini amat berpatutan.


Wajah Pasar Besar Siti Khadijah terletak di Jalan Buluh Kubu.



Suasana dan pemandangan bahagian tengah Pasar Besar Siti Khadijah.

Pemandangan dirakam di tingkat satu Pasar Besar Siti Khadijah.


Bahagian kuih-muih terletak di tingkat bawah pasar berkenaan.



Bahagian makanan basah (ikan dan daging) di tingkat bawah pasar.

Kedai makan terletak di tingkat satu pasar.


Cenderamata juga turut dijual di tingkat satu.

Keropok juga makanan kering yang tersohor di Kelantan.

Barangan runcit turut diwujudkan di tingkat satu pasar.

Jurufoto:
AZMI MOHD. SALLEH

Jumaat, 4 Oktober 2013

Kota Bharu: Kota Budaya


KOTA BHARU: KOTA BUDAYA

KOTA BHARU, KELANTAN:  KOTA BHARU merupakan ibu negeri Kelantan dan sebuah bandar yang unik di Pantai Timur. Bandar ini dibuka dengan rasminya pada masa pemerintahan Sultan Muhammad II pada tahun 1844. Dulu bandar ini dikenali sebagai Kota Saba' dan kini Kota Bharu tersohor sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri yang dinamakan Kota Darul Naim. Bahkan Kota Bharu juga dikenali sebagai 'Serambi Mekah' menjadi pusat perniagaan bagi kebanyakan kaum wanita.

Kelantan banyak melahirkan tokoh-tokoh ulama dan wali tersohor seperti Muhammad Yusof bin Ahmad atau Tok Kenali selain tokoh politik, sasterawan dan kebudayaan. Kerana itulah banyak masjid dan surau didirikan bagi menampung jemaah dan masyarakat setempat seperti Masjid Muhammadi yang merupakan masjid tertua di Kelantan yang terletak di Jalan Padang Bank serta Masjid Sultan Ismail Petra yang dikenali juga sebagai Masjid Kubah Biru iaitu masjid yang tercantik di sini terletak di Kubang Kerian.

Selain itu, Kompleks Balai Islam yang terletak di Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra menjadi pilihan individu dan pertubuhan Islam untuk mengadakan ceramah keagamaan selain pelbagai pameran untuk orang ramai mendapat maklumat sewajarnya.

Hari ini, Kota Bharu diberikan jolokan 'Kota Bharu Kota Budaya', sinonim dengan peranannya menjadi pusat kegiatan seni dan warisan budaya rakyat seluruh negeri Kelantan. Peranannya turut diperkuatkan dengan pembinaan Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Mahmood sebagai wadah golongan seni, budaya dan sastera menketengahkan bakat dengan mempersembahkan pelbagai acara dikir barat, rebana ubi, permainan gasing dan sebagainya.

Tidak lengkap rasanya bagi pelancong jika tidak mengunjungi beberapa pasar utama seperti Pasar Besar Siti Khadijah (dulu dikenali Pasar Besar Buluh Kubu) serta Bazar Buluh Kubu yang mana kedua-duanya terletak di Jalan Buluh Kubu.

Pasar ini berbentuk segi lapan dan mempunyai empat tingkat mengikut jenis barangan yang dijual dari barangan basah sehinggalah barangan keperluan harian seperti runcit dan pakaian. Disediakan juga tempat untuk menjamu selera yang dikhaskan di tingkat satu serta kuih-muih tradisional di tingkat bawah. Manakala Bazar itu pula ditempatkan pelbagai jenis pakaian dari peringkat kanak-kanak sehingga orang-orang dewasa.

Selain itu, di Kota Bharu juga terdapat Muzium Negeri Kelantan yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim selain Stadium Sultan Mohd. IV yang terletak di Jalan Mahmood sebagai stadium perlawanan bolasepak yang utama di Kota Bharu khususnya dan di Kelantan amnya.

Bagi peminat kraftangan pula, bolehlah mengunjungi Kampung Kraftangan yang terletak di Jalan Hilir Balai kerana pelbagai barangan kraf serta makanan tradisional boleh didapati di sini, malah anda juga dapat melihat sendiri cara pembuatannya.

Berkunjunglah ke Kota Bharu, Kelantan kerana segalanya ada di sini. Anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisional popular yang tidak mungkin dapat anda temui di tempat lain. Rancanglah perjalanan anda sempena Tahun Melawat Malaysia.

Istana Negeri terletak di Kubang Kerian.

Kota Darul Naim: Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan.

Pihak Berkuasa Tempatan: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam.

Menara Jam dan Replika Al-Quran simbol Kerajaan Negeri Kelantan.

Bazar Tok Guru terletak di Jalan Sultan Ibrahim.

Kompleks Balai Islam: Sumber Rujukan Islam terletak di Jalan Sultan Yahya Petra.

Masjid Muhammadi: Masjid Utama dan Tertua di Kelantan.

Masjid Sultan Ismail Petra dikenali juga Masjid Kubah Biru.

Bazar Buluh Kubu: Aneka kain dan pakaian boleh dibeli di sini.

Pasar Besar Siti Khadijah.

Stadium Negeri: Stadium Sultan Mohd. IV

Gelanggang Seni: Pusat Perkembangan Kebudayaan dan Kesusasteraan Kelantan.

Bank Pitis terletak di Jalan Istana Jahar.

Pintu Kota Istana Jahar.

Kampung Kraftangan: Pusat barangan kraf terletak di Jalan Hilir Balai.

Pusat Penerangan Pelancongan Kelantan.

Pemandangan di Jalan Sultan Ibrahim berhampiran Replika Al-Quran.

Pemandangan Pusat Bandar Kota Bharu di Jalan Doktor.

Pemandangan ke Pusat Bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH