DESTINASI: Media Tentang Perjalanan . Pengalaman . Tempat Menarik dan Kawasan Tumpuan Umum . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Ahad, 29 Jun 2014

Tanaman Khurma


TANAMAN KHURMA

KOTA BHARU, KELANTAN: Buahan-buahan dari padang pasir yang dikenali khurma yang ditanam sejak tahun 2008 lalu di Bulatan Tuan Padang atau Bulatan Jam di pusat bandar Kota Bharu di Jalan Tuan Padang dekat sini telah didapati berbuah sejak bulan Februari 2014 baru-baru ini.

Pada ketika itu, buah khurma berkenaan hanya berbuah agak sedikit dan masih kecil. Namun, pembesaran buah-buah khurma berkenaan semakin cepat dan kelihatan menyerlah sejak awal Jun 2014 yang lalu. Buah-buah khurma berkenaan dianggarkan akan masak sepenuhnya pada pertengahan bulan Julai ataupun Ogos 2014 nanti.

Sejak foto buah-buah khurma berkenaan dimuat naik ke media sosial seperti di Facebook dan Twitter, ia semakin mendapat tempat di kalangan pengunjung yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk setempat, malah ada yang datang dari Bachok, Machang, Pasir Mas, Tanah Merah dan tidak kurang juga dari luar Kelantan yang sempat bergambar kenangan sambil memeluk pokok khurma itu.

Boleh dianggapkan, tanaman khurma yang kini telah berbuah agak lebat dan telah menjadi tersohor di beberapa negara luar yang menyaksikannya melalui "maya", adalah amat sesuai jika dikatakan tanaman khurma berkenaan merupakan tarikan baru pelancong ke Kelantan yang juga salah satu produk terbaharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Kelantan.
















Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Khamis, 20 Mac 2014

Pantai Sri Tujoh


PANTAI SRI TUJOH

TUMPAT, KELANTAN: PANTAI SRI TUJOH yang terletak di Kampung Tujoh, Tumpat, Kelantan asalnya dinamakan "Pantai Tujoh" tetapi satu istilah “Sri” telah ditambah di bahagian tengahnya supaya panggilannya lebih menarik, bersifat komersial dan indah pada pandangan umum.

Dalam konteks geografinya, Pantai Sri Tujoh menghadap ke arah Laut China Selatan yang bersempadan dengan negara jiran, Thailand. Terdapat beberapa teluk dan beting pasir boleh disaksikan di beberapa kawasan pantai berkenaan turut menambahkan lagi keindahan landskap Pantai Sri Tujoh.

Sebenarnya, Pantai Sri Tujoh ditadbir Majlis Daerah Tumpat (MDT) selaku Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Di antara kemudahan yang disediakan pihak PBT berkenaan untuk kemudahan dan keselesaan pengunjung seperti rumah tumpangan, tandas awam, musalla, dewan orang ramai, restoran dan gerai makanan serta taman kanak-kanak.

Pantai Sri Tujoh menurut catatan pada batu asasnya memang terkenal sebagai tapak Pesta Wau Antarabangsa Kelantan sejak tahun 1983. Pantai ini juga turut dijadikan Tapak Pesta Air Kelantan 2005. Pada hujung minggu dan musim cuti sekolah, pantai ini dijadikan Tapak Pesta dan Ekspo Perdagangan.

Malah lazimnya, Pantai Sri Tujoh menerima pengunjung paling ramai terutamanya pada cuti hujung minggu seperti hari Jumaat (paling ramai), Sabtu dan musim cuti sekolah. Lazimnya juga, kebanyakan pengunjung yang datang ke pantai ini bersama keluarga untuk tujuan menikmati panorama pantainya yang menarik, permai dan mendamaikan.

Sesuatu yang menarik tentang Pantai Sri Tujoh ialah pantai ini kaya dengan landskapnya yang tersusun, selain pohon rhu yang hidup subur seolah-olah sebagai teman menghiburkan pengunjung dengan lambaian bayu berpuput lembut menambahkan lagi kenyamanan dan ketenangan apabila berada di pantai ini, selain terdapat beberapa spesis seperti anak ikan belacak dan ikan jejuluk sebagai penghias di beberapa tasik di pantai ini.

Melihatkan keadaan seni pantainya itu menunjukkan Pantai Sri Tujoh (Tumpat) telah mengalahkan pantai-pantai lain yang ada di Kelantan seperti Pantai Irama (Bachok), Pantai Melawi (Bachok), Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu) dan Pantai Sabak (Kota Bharu). Ini menunjukkan, komitmen yang ditunjukkan dan diambil perhatian oleh Majlis Daerah Tumpat ini yang dapat meningkatkan seni landskap pantainya sehingga menjadi kenangan dan menggamit pengunjung adalah sesuatu yang boleh dipuji dan usaha berkenaan perlu diteruskan dalam usaha untuk melihat pantai-pantai di negara dan di negeri kita dalam keadaan sempurna dan tidak terbiar.

Justeru, silalah berkunjung ke Pantai Sri Tujoh bersama keluarga kerana pengunjung tidak akan rugi malah dapat menghilangkan rasa resah apabila berada di pantai ini.

Papan tanda arah masuk ke Pantai Sri Tujoh.

Batu asas Pantai Sri Tujoh.

Masjid yang cukup cantik dan selesa disediakan kepada pengunjung beragama Islam untuk solat.


Chalet yang cukup selesa dan menarik.


Restoran dan gerai makanan.

Tandas awam.


Sukan air juga mendapat perhatian pengunjung.


Papan tanda amaran sebagai langkah berjaga-jaga.



Pemandangan menarik di Pantai Sri Tujoh.



Pokok rhu turut menghiasi Pantai Sri Tujoh.


Pelbagai jenis ikan yang gemar dengan kehadiran manusia.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Sabtu, 22 Februari 2014

Rantau Panjang: Zon Bebas Cukai


RANTAU PANJANG: ZON BEBAS CUKAI

RANTAU PANJANG: Rantau Panjang yang terletak di Utara negeri Kelantan adalah sebuah bandar yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand. Ia berada kira-kira 39 kilometer di barat daya bandar Kota Bharu dan terletak berhampiran dengan Sungai Golok, Thailand.

Bandar Rantau Panjang termasuk dalam peta pelancongan negeri Kelantan malah lebih tepat lagi bandar ini dikenali sebagai “Zon Bebas Cukai”. Pelbagai jenis barangan boleh didapati di bandar ini bermula dari pakaian, makanan hinggalah barangan dapur yang agak bermutu yang boleh dibeli dengan harga yang agak berpatutan dan murah jika dibandingkan dengan harga di kedai-kedai biasa.

Selain itu, beberapa unit penguatkuasaan turut ditempatkan di kawasan zon bebas cukai ini seperti Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia di pintu masuk zon ini bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dalam usaha mencegah penyeludupan seperti dadah, beras, gula, manusia dan sebagainya.

Lazimnya, Rantau Panjang menerima tetamu yang agak luar biasa ketika musim-musim perayaan, cuti persekolahan, cuti mingguan dan cuti umum. Ini kerana, kebanyakan yang datang ke sini bersama keluarga adalah semata-mata untuk mendapatkan barangan yang dihajatkan seperti pakaian umpamanya baju, kain cadar, kain selimut, cenderamata, barangan keperluan dapur dan sebagainya yang harganya tidak diperolehi di tempat-tempat yang lain.

Walaupun barangan seumpamanya boleh dibeli di Pengkalan Kubor, Tumpat atau di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, namun pilihan terbaik hanya boleh didapati di Rantau Panjang. Bukan sahaja harganya agak murah, namun kebanyakan pengunjung atau pembeli lebih menitikberatkan pilihan yang sesuai dengan kehendak mereka.

Sesuatu yang amat menarik khususnya bagi pengunjung-pengunjung dari Kelantan sendiri, kebanyakan peniaga tidak lokek dengan harga. Ada beberapa jenis pakaian yang dijual RM10 (4 helai) dan RM10 (3 helai) diberikan diskaun sendiri oleh peniaga. Sesuatu yang paling menarik, walaupun harga untuk barangan berkenaan telah ditetapkan, namun pembeli boleh cuba membuat tawar-menawar jika barangan yang akan dibeli itu dirasakan masih tidak dipersetujui oleh mereka. Buktinya, Wartawan DESTINASI, Azmi Mohd. Salleh sendiri telah membeli seutas tali pinggang dengan harga RM10 walaupun harga yang ditetapkannya ialah RM13, bahkan harga tali pinggang berkenaan di gedung pakaian di Kota Bharu ditetapkan dengan harga RM15-99 dan dua biji bantal ditawarkan dengan harga RM26, sedangkan di Kota Bharu dijual dengan harga RM20 sebiji.

Justeru, bagi pengunjung yang tidak pernah datang ke kawasan Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang, bolehlah mengambil peluang di musim-musim cuti sambil merantau dan membeli-belah di sana.

Pintu masuk ke Zon Bebas Cukai.

Laluan ke Zon Bebas Cukai.




Barangan makanan ringan turut dijual.









Rujukan: Wikipedia

Untuk Melihat Video Rantau Panjang ini, sila akses di You Tube: 
www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH