DESTINASI: Media Tentang Perjalanan . Pengalaman . Tempat Menarik dan Kawasan Tumpuan Umum . Selamat Datang . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh

Sabtu, 22 Februari 2014

Rantau Panjang: Zon Bebas Cukai


RANTAU PANJANG: ZON BEBAS CUKAI

RANTAU PANJANG: Rantau Panjang yang terletak di Utara negeri Kelantan adalah sebuah bandar yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand. Ia berada kira-kira 39 kilometer di barat daya bandar Kota Bharu dan terletak berhampiran dengan Sungai Golok, Thailand.

Bandar Rantau Panjang termasuk dalam peta pelancongan negeri Kelantan malah lebih tepat lagi bandar ini dikenali sebagai “Zon Bebas Cukai”. Pelbagai jenis barangan boleh didapati di bandar ini bermula dari pakaian, makanan hinggalah barangan dapur yang agak bermutu yang boleh dibeli dengan harga yang agak berpatutan dan murah jika dibandingkan dengan harga di kedai-kedai biasa.

Selain itu, beberapa unit penguatkuasaan turut ditempatkan di kawasan zon bebas cukai ini seperti Unit Pencegah Penyeludupan (UPP), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia di pintu masuk zon ini bagi menguatkuasakan undang-undang dan peraturan dalam usaha mencegah penyeludupan seperti dadah, beras, gula, manusia dan sebagainya.

Lazimnya, Rantau Panjang menerima tetamu yang agak luar biasa ketika musim-musim perayaan, cuti persekolahan, cuti mingguan dan cuti umum. Ini kerana, kebanyakan yang datang ke sini bersama keluarga adalah semata-mata untuk mendapatkan barangan yang dihajatkan seperti pakaian umpamanya baju, kain cadar, kain selimut, cenderamata, barangan keperluan dapur dan sebagainya yang harganya tidak diperolehi di tempat-tempat yang lain.

Walaupun barangan seumpamanya boleh dibeli di Pengkalan Kubor, Tumpat atau di Wakaf Che Yeh, Kota Bharu, namun pilihan terbaik hanya boleh didapati di Rantau Panjang. Bukan sahaja harganya agak murah, namun kebanyakan pengunjung atau pembeli lebih menitikberatkan pilihan yang sesuai dengan kehendak mereka.

Sesuatu yang amat menarik khususnya bagi pengunjung-pengunjung dari Kelantan sendiri, kebanyakan peniaga tidak lokek dengan harga. Ada beberapa jenis pakaian yang dijual RM10 (4 helai) dan RM10 (3 helai) diberikan diskaun sendiri oleh peniaga. Sesuatu yang paling menarik, walaupun harga untuk barangan berkenaan telah ditetapkan, namun pembeli boleh cuba membuat tawar-menawar jika barangan yang akan dibeli itu dirasakan masih tidak dipersetujui oleh mereka. Buktinya, Wartawan DESTINASI, Azmi Mohd. Salleh sendiri telah membeli seutas tali pinggang dengan harga RM10 walaupun harga yang ditetapkannya ialah RM13, bahkan harga tali pinggang berkenaan di gedung pakaian di Kota Bharu ditetapkan dengan harga RM15-99 dan dua biji bantal ditawarkan dengan harga RM26, sedangkan di Kota Bharu dijual dengan harga RM20 sebiji.

Justeru, bagi pengunjung yang tidak pernah datang ke kawasan Zon Bebas Cukai di Rantau Panjang, bolehlah mengambil peluang di musim-musim cuti sambil merantau dan membeli-belah di sana.

Pintu masuk ke Zon Bebas Cukai.

Laluan ke Zon Bebas Cukai.




Barangan makanan ringan turut dijual.









Rujukan: Wikipedia

Untuk Melihat Video Rantau Panjang ini, sila akses di You Tube: 
www.youtube.com/azmi mohd salleh

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH